Malaysiakini wrote:
Mar 10, 08 7:05pm
Walaupun menang atas tiket PAS di parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali kembali berkata beliau kekal sebagai wakil rakyat bebas.
Ibrahim, 57, adalah bekas ketua Umno bahagian Pasir Mas.
Bagaimanapun, beliau dilucut dari jawatan tersebut pada 22 November 2003 dan digantung keahliannya seumur hidup kerana bertanding sebagai calon pada 2004.
Dalam pilihanraya umum Sabtu lalu, Ibrahim menang dengan majoriti 8,991 undi.
Beliau memperolehi 28,673 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ahmad Rosdi Mahmad yang mendapat 19,682 undi.
Tidak mahu terikat
Bernama memetik Ibrahim sebagai berkata, beliau tidak bercadang menyertai mana-mana parti, termasuk PAS walaupun bertanding atas tiket parti tersebut.
Menurutnya, tumpuan utama beliau pada masa ini ialah menyuarakan masalah rakyat selain membantu mewujudkan kerajaan yang lebih telus dan bersih.
"Saya bukan agresif, tetapi akan tetap lantang membawa suara rakyat dan menjadi anggota parlimen yang baik.
"Saya bukan nak kejar apa-apa pun, jadi, lebih baik saya bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.